Majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan bina badan negara ke Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Asia Tenggara ke-17 di Wisma OCM, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2023. Foto Facebook Persekutuan Bina Badan Malaysia
AGENDASUKANKINI

Atlet bina badan peruntuk hampir semua gaji beli makanan kesihatan tambahan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Atlet pelapis bina badan negara, Arif Amaruddin Azmi mendedahkan beliau menggunakan 90 peratus daripada gaji diterimanya setiap bulan bagi urusan perbelanjaan sukan berkenaan.

Arif Amaruddin berkata baki 10 peratus gajinya diberikan kepada keluarga manakala kebanyakan wang digunakan untuk bina badan dibelanjakan bagi membeli protein diperlukan seperti ayam dan telur.

“Jujur saya cakap, saya mati untuk bina badan. Saya bukan macam orang biasa lain yang memikirkan untuk membeli rumah namun gaji saya untuk bina badan,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan bina badan negara ke Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Asia Tenggara ke-17 di Batam, Indonesia, dari 8 hingga 12 Jun ini.

Atlet bina badan negara, Arif Amaruddin Azmi pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad bina badan negara sempena Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Asia Tenggara ke-17 di Batam, Indonesia ketika ditemui di Wisma OCM pada 6 Jun 2023. Foto Bernama

Bukan sahaja gaji, anggota polis itu mengakui terpaksa melupakan keseronokan lain terutamanya dalam aspek pemakanan dengan mengekalkan diet dan disiplin ketat bagi memastikan badannya kekal ‘sado’ menjelang kejohanan sulung antarabangsanya di Indonesia nanti.

“Setiap pagi saya goreng telur 10 biji tanpa minyak serta oat untuk sarapan dan sediakan ayam bakar dengan sedikit garam serta sayur-sayuran sebagai bekalan makan tengah hari dan malam.

“Saya memang terpaksa pantang gula dan minyak kerana itu adalah musuh utama saya selain penting untuk bakar lemak,” katanya.

Dari segi latihan pula, atlet berusia 28 tahun itu berkata beliau memanfaatkan tiga sesi latihan di gimnasium merangkumi sekurang-kurangnya 10 jam sehari termasuk sesi ‘cardio’ di sebelah pagi.

Bagaimanapun, anak jati Banting, Selangor itu tetap bersyukur tajaan seperti suplemen dan pakaian daripada syarikat produk nutirisi sukan tempatan meringankan bebannya dalam mengharungi cabaran sebagai atlet bina badan.

Mengenai kejohanan di Batam, naib juara ‘welter & light middleweight’ (65 kilogram (kg) & 75kg) Piala Ketua Polis Negara 2022 itu berharap dapat memperagakan bentuk badan menarik seterusnya memikat hati juri untuk merangkul emas kategori 75kg nanti.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia Datuk Dr Ahmad Badrus Othman berkata mereka meletakkan sasaran kepada kontinjen negara untuk membawa pulang tiga emas kali ini.

Katanya, kesemua atlet dipilih kali ini adalah barisan pelapis yang boleh diketengahkan ke peringkat tertinggi selain berharap penyertaan mereka tidak menghampakan sekali gus dapat meneruskan kecemerlangan atlet senior sebelum ini.

Selain Arif Amaruddin, Malaysia diwakili dua lagi atlet iaitu Muhammad Shaiful Hisyam Abd Aziz yang bersaing bagi kategori lelaki 175 sentimeter (cm) fizikal dan Shelen Aderina Kok untuk wanita lebih 160cm fizikal.

– BERNAMA


Pengarang :