SHAH ALAM, 11 JUN: Sejumlah RM1 juta peruntukan ditambah bagi melayakkan lebih ramai pekerja p-panggilan mendapat manfaat Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).
Dato’ Menteri Besar berkata tahun ini pihaknya menerima hampir 6,000 permohonan menyebabkan ramai pemohon belum menerima bantuan terbabit.
“Untuk tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri terima hampir 6,000 permohonan program RIDE. Jadi kita tambah peruntukan RM1 juta untuk bantu lebih 2,000 pemohon yang belum dapat.
“InsyaAllah Kerajaan Negeri sedaya upaya akan membantu mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.
Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM2 juta bagi melayakkan lebih 3,000 pekerja p-panggilan menerima sumbangan wang tunai RM500 serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM50.
RiDE diwujudkan pada 2020 selepas Kerajaan Negeri melihat keperluan melindungi pekerja p-panggilan berikutan kebergantungan masyarakat terhadap sektor itu terutama selepas penularan wabak Covid-19.
Sejak diperkenalkan hingga tahun lalu, 6,500 mendapat manfaat program berkenaan dengan hampir 15,000 pekerja di negeri ini memohon inisiatif terbabit.