EXCO Perumahan Rodziah Ismail ditemui pada majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNEXCOSELANGOR

Rodziah sedia beri laluan muka baharu tandingi DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 20 JUN: Wakil rakyat Batu Tiga Rodziah Ismail bersedia memberi laluan kepada muka baharu untuk menggantikannya dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Selain memerlukan pelapis dalam pentadbiran negeri, Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam dan Ahli Majlis Perwakilan Pusat (KEADILAN) berkata ruang itu juga membolehkannya menumpukan tugas sebagai ahli parlimen Ampang.

“Keputusan mesyuarat cabang baru-baru ini memang mahu mengekalkan dua Ahli Dewan Negeri (ADN) di Shah Alam iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan Kota Anggerik.

“Namun, saya berserah kepada pimpinan parti. Ditambah pula kedudukan saya sekarang sebagai ahli parlimen Ampang, sudah pasti tugasan akan lagi bertambah,” katanya ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun, Rodziah yang juga EXCO perumahan negeri akur jika pucuk pimpinan parti tetap mahukannya mempertahan kerusi yang dimenangi selama tiga penggal sejak 2008.

“Jika diminta untuk kembali, saya akur tetapi bagi saya kalau ada ruang eloklah diberi kepada muka baharu pula untuk memimpin negeri,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum lalu, Rodziah memenangi kerusi parlimen Ampang dengan majoriti 29,681 undi, menewaskan lapan calon lain termasuk penyandang Datuk Zuraida Kamaruddin.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membubarkan Dewan Negeri pada 23 Jun bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.


Pengarang :