Ucapan takziah daripada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam Facebooknya pada 21 Jun 2023. Foto Facebook Fahmi Fadzil
AGENDANASIONAL

Rohana Jalil meninggal dunia, dikebumikan di Subang Jaya

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil, 68, yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua bulan lalu akibat kebocoran usus menghembuskan nafas terakhir 11.33 malam tadi.

Khabar duka itu disahkan pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun hari ini.

“Arwah sudah tidak sedarkan diri sejak tengah hari semalam. Selepas melihat keadaan arwah semakin kritikal, doktor meminta semua ahli keluarga berkumpul di hospital pada jam 5 petang.

“Arwah pergi dengan tenang dan urusannya dipermudahkan,” katanya, lapor Berita Harian.

Menurut Jepun, jenazah arwah Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil akan dibawa ke Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya untuk urusan solat jenazah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya sebelum Zuhur.

Sebelum ini keadaan arwah semakin lemah dan diletakkan di wad pemantauan.

Kebocoran usus dialami menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

Allahyarham Rohana berasal dari Kota Tinggi, Johor mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.

Sepanjang empat dekad berkecimpung dalam bidang muzik, arwah sudah merakamkan lebih 20 album termasuk album kompilasi dan projek khas.

Antara lagu popularnya Rayuan Ku, Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.

Allahyarham Rohana meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan termasuk anak bongsu Syakila Nisha atau lebih dikenali Kilafairy turut mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham serta berdoa semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

“Sedih mendengar berita kehilangan penyanyi terkenal tanah air, Rohana Jalil.

“Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini,” katanya.


Pengarang :