Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

MB cakna kebajikan guru agama, galakkan terjemahan buku

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersungguh-sungguh merancakkan perkembangan syiar Islam dengan menyalurkan peruntukan kira-kira RM2 bilion sejak mengetuai kerajaan lima tahun lepas.

Setiap belanjawan tahunan negeri, kira-kira RM500 juta hingga RM600 juta disediakan untuk itu, termasuk RM100 juta untuk sekolah agama dan RM4 juta lagi untuk masjid serta surau.

Untuk memantapkan lagi pendidikan agama anak, beliau sentiasa cakna kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Kafa Integrasi (Kafa-i) dan sekolah agama selaras keperluan semasa.

Mulai tahun ini, Kerajaan Negeri menyelaraskan elaun supaya 2,825 pendidik itu menikmati gaji minimum RM1,500. Sebelum ini mereka dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan sahaja.

Sebagai tambahan, Amirudin pada 13 April turut mengumumkan kajian semula tangga gaji bagi mengurangkan beban mereka termasuk guru sekolah agama yang terpaksa menunggu kenaikan pangkat serta gaji untuk tempoh lama.

Dua tahun sebelum itu, beliau memperkenal caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disambut baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas majlis penyerahan bantuan sekolah agama rakyat berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Perbelanjaan RM1.1 juta untuk bayaran Perkeso itu memanfaatkan 4,200 guru Kafa sebagai perlindungan jika terbabit dalam kemalangan ketika berulang-alik ke tempat mengajar.

Kerajaan Negeri turut menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri turut diberi kepada guru Kafa dan sekolah agama yang dinikmati 1,687 pendidik pada tahun ini.

Seramai 32 penyelia Kafa turut menerima manfaat hasil urus tadbir baik Kerajaan Selangor. Mulai tahun ini, insentif khas RM100 setiap bulan dinikmati golongan itu untuk meningkatkan semangat mereka mengurus institusi berkenaan.

Tidak dilupakan, kebajikan 34,339 penggerak masjid dan surau. Bermula daripada nazir, imam, bilal hingga siak, insentif khas Aidilfitri RM13.4 juta dihulur antara 2019 hingga 2023.

Seramai 1,687 guru agama rakyat turut menikmati ganjaran sama pada tahun ini. Mengikut Belanjawan Selangor 2023, peruntukan RM583 juta disalur untuk pembangunan hal ehwal Islam.

Pada 2019 dan 2020, nazir dan dua imam rawatib, bilal dan siak masjid menerima imbuhan raya RM400 seorang. Pengerusi, dua imam dan masing-masing bilal dan siak surau pula RM300.

Ganjaran itu dinikmati 2,730 individu dari 400 masjid dan 10,250 orang dari 2,050 surau menerima manfaat sumbangan khas keseluruhan RM4.17 juta setahun dalam tempoh berkenaan.

Mulai 2021 hingga 2023 pula, insentif raya yang dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 seorang disalur kepada nazir dan dua imam, bilal serta siak rawatib.

Festival turath

Bulan lepas, Pejabat Dato’ Menteri Besar menganjurkan Festival Turath Islami Selangor selama seminggu bermula 20 Mei lalu. Program itu bersempena penterjemahan Ihya Ulumuddin ke bahasa Melayu.

Amirudin mengundang bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab sebagai tokoh utama mengupas pemikiran Imam al-Ghazali dalam kitab tersebut.

Festival turut mengundang Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni (Thailand), Dr Said Aqil Siradj (Indonesia), Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathoni (Thailand), Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar (Malaysia) dan Datuk Dr Muhammad Nur Manuty (Malaysia) membentangkan isi pemikiran al-Ghazali.

Julung kali diadakan dan mendapat sambutan besar sehingga 25 Mei, festival itu bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin mulai awal tahun ini yang digerakkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Pada 28 Mei, ketika melancarkan buku terjemahan Imam Al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Amirudin mengumumkan projek penerbitan karya ulama tersohor itu sebagai Siri Warisan Islami.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah bersama tetamu membaca zikir ketika Majlis Zikir Darul Ehsan sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain karya al-Ghazali, Kerajaan Negeri juga menyediakan geran bagi aktiviti penterjemahan buku pelbagai tema termasuk sejarah, falsafah, politik, sains, seni dan agama.

“Kalau tanya apa yang saya rindu (sekarang), saya rindu perbincangan santai dengan rakan-rakan (sejak awal 2000-an). Tentang buku apa yang kami baca dan sebagainya.

“Masa muda, saya banyak habis pada diskusi buku. Saya tidak suka ke pusat beli-belah atau panggung wayang. Kedengaran macam bosan, tetapi itulah kegembiraan saya.

“Saya berpendapat kita tidak boleh membaca sendirian tanpa menguji apa yang kita baca,” katanya pada program bual bicara di PBAKL, mengenang kegiatan ketika usianya awal 20-an.

Selain menyertai pasukan debat ketika menuntut di Universiti Putra Malaysia, Amirudin suka mengikuti acara baca puisi. Apabila dilantik EXCO kebudayaan pada 2014, beliau memperkenalkan Hadiah Sastera Selangor (HSS) setahun kemudian.

Mendapat sambutan hangat setiap tahun, HSS membuka peluang penulis muda meneroka bakat sastera yang sukar mereka tembusi di majalah atau akhbar arus perdana lebih mampan.


Pengarang :