Ketua Operasi Agihan LZS Daerah Hulu Langat Mohamad Ibrahim Selamat menyantuni Sazali P Ramlee di kediamannya di Hulu Langat pada 2 Jun 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Royalti P Ramlee tamat: LZS salur bantuan tambahan kepada Sazali

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

HULU LANGAT, 6 JUN: Prihatin dengan nasib menimpa anak seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan wang tambahan dan kos rawatan hospital kepada Sazali P Ramlee dan isteri.

Ketua Operasi Agihan LZS Daerah Hulu Langat Mohamad Ibrahim Selamat berkata bantuan itu membabitkan belanja tambang ulang alik hospital Sazali dan kos rawatan isterinya yang akan menjalani pembedahan tulang belakang membabitkan kos RM25,000.

“Sazali telah didaftarkan sebagai asnaf fakir sejak beberapa tahun lalu, tiada sebarang sumber pendapatan sejak berhenti kerja pada 2013 kerana kecederaan parah akibat kemalangan.

“Ditambah pula, perjanjian pembayaran royalti 50 tahun tamat tahun ini dan Sazali mengalami kesukaran untuk menyara hidupnya dan isteri kerana sudah uzur,” menurut agensi itu di Facebook.

Kakitangan Operasi Agihan LZS Daerah Hulu Langat membantu Sazali P Ramlee mengisi borang ketika lawatan agensi itu ke kediamannya  pada 2 Jun 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

Menerusi royalti tahunan karya arwah bapanya dan bantuan dari LZS, Sazali menyara isterinya yang sering berulang alik ke hospital untuk rawatan susulan masalah kesihatan tersebut,

Sementara itu, Sazali berkata, selama ini royalti arwah bapanya yang diterima digunakan secara berhemat untuk belanja tambang ulang alik hospital.

“Tapi, bila royalti itu dah tamat, saya buntu memikirkan. Mujur LZS dapat menampung kos tersebut.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada LZS serta seluruh pembayar zakat di negeri ini,” katanya.

Usia pemergian P Ramlee genap 50 tahun pada tahun ini selepas seniman filem negara itu meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat sakit jantung.

Sepanjang tempoh itu, royalti daripada karya lagu P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehinggalah Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti tersebut kemudiannya diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee sebelum kontrak royalti yang diuruskan MACP itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali selepas Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008.


Pengarang :