Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM: Pertikai keabsahan negeri tidak wajar, bersifat hasutan

SHAH ALAM, 6 JUN: Mana-mana pihak baik blok Kerajaan mahupun pembangkang yang membuat kenyataan berunsur hasutan atau melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan boleh disiasat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan berunsur hasutan termasuk mempertikai keabsahan kedudukan sesebuah negeri melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau ada kenyataan yang berunsur hasutan, buat laporan polis. Saya tidak halang siasatan kepada sesiapa pun kalau melanggar prinsip Perlembagaan (Persekutuan).

“Ahli Umno pun kita ambil tindakan, ahli PAS pun tidak terlepas termasuk KEADILAN (Parti Keadilan Rakyat),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkaitan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu perlembagaan dipinda dalam isu kedaulatan Pulau Pinang dan Kedah.

Dalam perkara berkenaan, Anwar menjelaskan polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan dan sebahagian laporan itu telah dikemuka kepada Peguam Negara.

“Polis mulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang untuk ambil tindakan sesuai daripada penerusan kenyataan melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kenyataan seumpama berkenaan tidak wajar dibangkitkan seseorang yang ada kedudukan ketika negara telah lama mencapai kemerdekaan dan berdaulat.

“Saya tiada masalah jika mahu buat kajian atau seminar (polemik Kedah dan Pulau Pinang) tetapi (ini tidak boleh) dalam keadaan negara sudah merdeka dan berdaulat terus dibahas kerana ada kesan besar dengan negara lain yang mungkin boleh ‘claim’,” katanya.


Pengarang :