Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 23 Jun 2023. Foto Bernama –fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

RUU kawalan merokok perlu dibentang segera, semua pihak diminta sokong

KOTA KINABALU, 25 JUN: Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa meminta semua pihak menyokong usaha untuk memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dapat dibentangkan di Parlimen dalam persidangan akan datang.

Beliau berkata melalui langkah perundangan ini, ia diharap dapat melahirkan generasi muda Malaysia bebas daripada sebarang bentuk tabiat merokok yang dikenali sebagai Generasi Penamat Rokok melibatkan golongan remaja lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Katanya tinjauan kesihatan remaja melibatkan golongan anak muda berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan pengguna peranti merokok elektronik daripada 211,084 orang pada 2017 kepada 301,109 orang pada 2022.

“Ini belum mengambil kira penggunaan rokok konvensional yang melibatkan kumpulan remaja ini iaitu seramai 186,817 orang pada 2022. Data yang dikongsikan ini merupakan satu senario nyata yang menuntut keprihatinan dan tindakan secara bersama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalannya Lukanisman Awang Sauni pada Majlis Perasmian Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaaan di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata Malaysia menyaksikan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 dan NCD ini sebenarnya boleh dicegah melalui pembudayaan hidup sihat antaranya dengan tidak mengamalkan tabiat merokok.

Beliau berkata tinjauan itu juga menunjukkan bahawa dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian setiap tahun di negara ini adalah akibat tabiat merokok.

Katanya pada masa sama kementeriannya juga memberikan perhatian kepada peningkatan trend penggunaan rokok elektronik dan vape iaitu prevalen sebanyak 4.9 peratus yang bersamaan dengan 1.13 juta pengguna dalam kalangan dewasa.

– BERNAMA


Pengarang :