Dato’ Teng Chang Khim ketika lawatan ke kilang Dassault Aviation, Bordeaux-Aéronautique, di Bordeaux, Perancis. Foto Facebook Teng Chang Khim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor ketengah dua projek penting pada Pameran Udara Paris

SHAH ALAM, 18 JUN: Dua projek berimpak tinggi Selangor diketengahkan pada Pameran Udara Paris yang bermula esok hingga 25 Jun di Lapangan Terbang Paris-Le Bourget, Perancis.

EXCO pelaburan memaklumkan projek penting itu membabitkan Taman Aero Antarabangsa Selangor (SAP) yang menjadi sektor tumpuan dalam pelan pembangunan lima tahun negeri, Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Teng Chang Khim berkata projek Rejuvenasi Lapangan Terbang Subang turut ditonjolkan di Pavilion Malaysia sepanjang seminggu pameran edisi ke-54 berlangsung.

“Saya bersama pasukan Invest Selangor Berhad berada di sini selama seminggu. Kita akan guna peluang yang ada untuk menemui semua pemain industri aeroangkasa.

“Pada masa sama kita akan memperkenalkan industri sokongan aeroangkasa di Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Dianjur kali terakhir pada 2019, pameran udara terbesar dunia tahun ini menyasar kehadiran 139,840 pelawat perdagangan dari 185 negara dan 176,630 pengunjung awam.

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Dassault Aviation, syarikat gergasi aeroangkasa Perancis yang membangunkan pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) jet perniagaan di Lapangan Terbang Subang.

Turut serta Airbus, ATR, Embraer, Voltaero, Potez, Lockheed Martin, NH Industries, Marganski & Mylowski, Pipistrel dan Volocopter, lapor portal Simple Flying.

Tahun ini, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga menganjurkan Pameran Udara Selangor (SAS) yang dijadual pada 7 hingga 9 September depan dengan sasaran potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion.

Usaha menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) jabatan khusus bawah Invest Selangor itu juga seiring dengan sasaran negeri sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.


Pengarang :