Orang ramai hadir pada program Karnival Jom Heboh 2023 Selangor Generasi Muda di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 4 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor rancang anjur lebih banyak program dekati golongan muda

SHAH ALAM, 5 JUN: Kerajaan Negeri dalam rancangan menganjurkan beberapa program khusus untuk mendekati golongan muda pada masa akan datang, kata EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata ia susulan maklum balas baik Karnival Jom Heboh yang diadakan dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Media Prima Berhad semalam.

“Jika diizinkan, kita mahu adakan program dengan lebih meriah dan banyak khemah khusus untuk rakyat Selangor.

“Setakat ini, pada minggu depan kita akan mulakan dengan mengumpulkan 3,000 pemandu e-panggilan untuk serah bantuan RM500 selain acara larian dan adakan jelajah kerjaya atau pesta kerjaya.

“Ini adalah demi rakyat Selangor yang sangat ‘sporting’ dan sentiasa sokong Kerajaan Negeri,” ucapnya pada majlis penutup Karnival Jom Heboh di dataran karnival Stadium Shah Alam hari ini.

Terdahulu, program julung kali disertai Kerajaan Negeri itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Karnival juga dimeriahkan dengan Konsert Jom Heboh iaitu persembahan artis tempatan Haqiem Rusli, Afieq Shazwan dan Kumpulan OVA.

Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Media Prima Berhad itu menjadi medan untuk mendekati golongan muda selain dapat mewujudkan masyarakat Madani menerusi penganjuran aktivitinya yang berkonsepkan kekeluargaan serta sukan.


Pengarang :