Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sasar capai penggunaan kenderaan awam lebih banyak menjelang 2030

SHAH ALAM, 1 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan penggunaan enam kenderaan awam dan empat kenderaan peribadi bagi mencapai matlamat bandar rendah karbon menjelang tahun 2030.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran tersebut dibuat melalui Plan Induk Pembangunan Awam negeri ini  dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Negeri menyasarkan menjelang 2030 nisbah penggunaan kenderaan awam dan kenderaan peribadi adalah pada kadar 6:4 yang berbeza situasi sekarang dalam keadaan terbalik.

“Ini memerlukan satu jaringan tersusun dan juga memerlukan rancangan menyeluruh untuk menangani trafik serta menepati hasrat negeri bandar rendah karbon,” katanya ketika berucap sesi libat urus RMK12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini pada Khamis.

Tambah Amiruddin, Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat membangunkan infra pengangkutan di kawasan zon utara negeri ini untuk meningkatkan akses kemudahan rakyat.

“Sebenarnya di kawasan utara negeri Selangor belum lagi dihubungkan sepenuhnya dengan rangkaian kereta api. Contoh seperti Hulu Selangor dan kawasan sekitar telah dihubungkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Tetapi bermula dari Klang ke Sabak Bernam belum disambungkan dengan kereta api. Mungkin kerajaan boleh rangka kalau tidak di RMK12 mungkin RMK13,” katanya.


Pengarang :