Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli (kiri) bersama Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof (dua, kanan) menyerahkan barang promosi Kombo Madani yang dijual secara pakej sempena Jualan Khas Aidiladha Madani peringkat Kebangsaan di tapak pasar tani Stadium Shah Alam pada 25 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sempena Aidiladha, Fama buka 203 tapak jualan di seluruh negara

SHAH ALAM, 25 JUN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyediakan 203 tapak niaga sempena Aidiladha bermula semalam hingga Rabu ini bagi memudahkan penduduk membeli barangan keperluan raya.

Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata jualan di pasar tani, pasar tani kekal, pusat transformasi luar bandar (RTC) serta di Medan Niaga Satok, Sarawak melibatkan lebih 20,000 peniaga seluruh negara.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli di Majlis pelancaran Jualan Khas Aidiladha Madani peringkat Kebangsaan di tapak pasar tani Stadium Shah Alam pada 25 Jun 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Jualan khas Aidiladha Madani ini menyasarkan nilai jualan sehingga RM11 juta. Penganjuran juga sebagai langkah membuka peluang kepada peniaga beroperasi memandangkan terdapat permintaan tinggi dari penduduk sempena raya.

“Kita sasar 30,000 ayam terjual dengan nilai jualan sehingga RM440,000 selain 6.2 metrik tan daging sebanyak RM220,000 sepanjang program ini,”  katanya melancarkan program Aidiladha Madani Kebangsaan di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Aminudin turut memberi jaminan bekalan bahan keperluan sepanjang musim perayaan ini mencukupi berikutan persediaan sudah dilakukan awal.

“Program ini turut menawarkan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemamh dan kuih muih selain barangan iaitu ayam, daging dan sayur,” katanya.

Dalam majlis berkenaan beliau turut melancarkan jualan istimewa Kombo Madani bernilai RM10 kepada 100 pengunjung terawal.

“Kombo ini lengkap dengan ayam serta keperluan bahan memasak rendang seperti halia, lengkuas dan daun kunyit,” katanya.

Orang ramai membeli barangan promosi Kombo Madani yang dijual secara pakej pada Majlis Pelancaran Jualan Khas Aidiladha Madani peringkat Kebangsaan di tapak pasar tani Stadium Shah Alam pada 25 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :