Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita KEADILAN Selangor di Padang Awam kampung Permatang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sentimen MB bukan anak tempatan tidak jejas prestasi Selangor

KUALA SELANGOR, 10 JUN: Sentimen dimainkan pembangkang berhubung Menteri Besar Selangor bukan anak tempatan tidak menjejaskan prestasi dan pentadbiran negeri yang diperintah Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan sentimen itu adalah bukti pembangkang gagal mengemukakan berhujah yang memanfaatkan rakyat.

“Sejak dari awal Selangor bergantung dengan prestasi, oleh itu sentimen yang dibawa ini saya percaya bukan petunjuk dan beri faktor besar.

“Sebab itu saya katakan mereka gagal untuk berhujah secara dasar yang ada manfaat untuk rakyat negeri ini. Jika ada pun tidak jelas, maklumat tidak lengkap sedangkan kita tawarkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) mengangkat obor sebagai simbolik perasmian bersama ketua cabang AMK dan ketua wanita cabang KEADILAN pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita KEADILAN Selangor di padang awam Kampung Permatang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertikaikan kepimpinan Selangor yang diterajui Amirudin yang bukan berasal daripada negeri itu.

Untuk rekod, Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia sebanyak 24.8 peratus mendahului negeri lain dengan nilai Keluaran Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM343.5 bilion berbanding RM327.1 bilion pada 2020.

Malah, Amirudin menyasar Selangor mampu menyumbang 30 peratus KDNK menjelang 2026 hasil pembangunan beberapa projek mega dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :