Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat dalam kejadian pokok tumbang di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown pada 10 Jun 2023. Foto Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Perak
AGENDAJENAYAH

Seorang maut, sembilan cedera pokok tumbang hempap kereta, motosikal

GEORGETOWN, 10 JUN: Seorang penunggang motosikal maut, sembilan individu lain cedera dalam kejadian pokok tumbang di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pokok terbabit dikatakan menghempap dua kereta dan tiga motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.26 pagi.

Katanya 18 anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati sebatang pokok menghempap beberapa kenderaan dan ia membabitkan 10 mangsa.


Keadaan dua kereta yang dihempap pokok tumbang di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown pada 10 Jun 2023. Foto Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Perak

“Anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut A’azelan berkata, seorang penunggang motosikal didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi lelaki patah kaki.

Beliau berkata, mangsa yang lain turut cedera.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis,” katanya.

Menurut A’azelan, pasukan penyelamat bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut melakukan kerja pembersihan di lokasi selepas kejadian dan operasi tamat pada 5.58 pagi.


Pengarang :