Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim jaminan air tambah baik, tingkat bekalan jika berlaku gangguan tidak berjadual

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 15 JUN: Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dijangka mampu menambah baik dan meningkatkan bekalan air terutama jika berlaku pencemaran atau gangguan tidak berjadual.

Dijangka siap menjelang Oktober ini, Dato’ Menteri Besar berkata projek terbabit penting untuk menampung keperluan 1.6 juta akaun membabitkan tujuh juta pengguna selain sektor industri.

“Sebagai negeri termaju di Malaysia, sudah tentu Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan peka terhadap usaha menambah baik mutu perkhidmatan bekalan air.

“Dengan pelaksanaan SJAM bekalan air akan terus ditingkatkan dan ditambah baik terutama jika berlaku pencemaran dan gangguan tidak berjadual,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Menurut beliau SJAM yang akan melalui proses percubaan iaitu simulasi operasi sebelum dijangka berfungsi sebaiknya awal tahun depan.

Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dilaksana selepas Selangor berdepan banyak insiden gangguan bekalan air hingga menjejaskan rutin harian.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi loji rawatan air jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pemantauan skuad pantas agensi berkenaan.


Pengarang :