Skuad bola keranjang berkerusi roda berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara 3×3 pada aksi final temasya Sukan Para ASEAN (APG) di Dewan Elephant 2, Stadium Morodok Techo, Kemboja pada 3 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Skuad bola keranjang kerusi roda raih gangsa di Sukan Para ASEAN

PHNOM PENH, 3 JUN: Skuad bola keranjang berkerusi roda negara tidak pulang tangan kosong apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi acara 3×3 pada aksi final temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023, hari ini.

Anak buah Lim Ming Lip garang menewaskan pasukan tuan rumah setelah merekodkan kemenangan 17-8 di Dewan Elephant 2 di Stadium Morodok Techo.

Walaupun bermain di hadapan kira-kira 300 penyokong tuan rumah, gandingan Freday Tan, Karthik Kana Pathy, Muhamad Atib Zakaria, Muhammad Azzwar Hassan Assari dan Razali Cantik serba menjadi untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di bumi Kemboja.

Malaysia memenangi dua daripada empat perlawanan peringkat kumpulan semalam untuk menempah slot kedudukan ketiga dan keempat hari ini.

Pencapaian terbaik Malaysia bagi acara bola keranjang berkerusi roda 3×3 lelaki sebelum ini ialah memenangi pingat perak pada APG ke-9 di Kuala Lumpur.

APG 2023 akan dibuka secara rasmi malam ini.

-BERNAMA


Pengarang :