Singgahsana Diraja di Balairong Seri Istana Negara lama. Foto Ihsan Muzium Diraja
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Singgahsana Diraja lama pahat pelbagai sejarah penting negara

Singgahsana Diraja di Balairong Seri Istana Negara lama menyimpan pelbagai sejarah penting khususnya pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketujuh hingga ketiga belas.

Dihiasi ukiran bunga kebangsaan dan awan larat, singgahsana tersebut mempunyai tujuh tiang sebagai simbol tujuh petala langit dan tujuh petala bumi.

Diperbuat daripada kayu cengal, singgahsana itu setinggi 4.9 meter dan lebarnya 11 meter. Bahagian atasnya tertera bahagian awal ayat 26 surah Ali Imran yang menegaskan hanya Allah yang memiliki segala kekuasaan dan memuliakan sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Di bahagian bawah ayat suci tersebut, diletakkan 15 sifat daripada 99 nama Allah SWT yang berkaitan keagungan-Nya.

Lima baris tiang singgahsana pula melambangkan lima prinsip Rukun Negara, manakala tujuh anak tangga memberi pengertian takhta negara ini paling tinggi dalam hierarki negara.

Penolong Kurator Muzium Diraja Muhammad Nahar Wafi Nasruddin dalam satu wawancara menjelaskan perkataan singgahsana berasal dari bahasa Sanskrit bermaksud tempat duduk singa.

Singa dianggap simbol kepada raja rimba dan signifikan dengan maksud kepada singgahsana, tambahnya.

Singgahsana Diraja di Istana Negara lama pertama kali digunakan dalam upacara pertabalan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada Julai 1980.

Ayahanda kepada DYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Baginda memerintah antara 26 April 1979 sehingga 25 April 1984.

Sementara DYMM Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pula Yang di-Pertuan Agong terakhir ditabal di singgahsana itu. Upacara seterusnya diadakan di Istana Negara baharu di Jalan Duta, kini Jalan Tuanku Abdul Halim.

Selain pertabalan, singgahsana berkenaan turut digunakan untuk pengurniaan darjah kebesaran dan pingat persekutuan serta majlis sambutan Hari Keputeraan dan kegiatan keagamaan.

Singgahsana itu dihasilkan arkitek kanan Jabatan Kerja Raya Kapten David Wee tanpa sebarang paku dengan menggabungkan elemen lambang kebesaran Raja-Raja Melayu di negara ini.

Pengarah Muzium Diraja Rohana Husin menjelaskan bangunan asal tapak Istana Negara lama dibina pada 1928. Ia memiliki sejarah panjang termasuk bangunannya digunakan tentera Jepun sekitar 1940-an. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan ini dibeli Kerajaan Selangor.

Selepas diubah suai, ia dijadikan Istana DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah. Bangunan ini dibeli oleh kerajaan persekutuan pada 1957 dan dinaik taraf lagi untuk dijadikan Istana Negara bagi sebuah negara merdeka.

“Dihasilkan dalam reka bentuk seni bina Eropah gaya Palladian, bangunan itu diubah suai beberapa kali termasuk pembinaan Balairong Seri yang menempatkan Singgahsana Diraja pada 1980,” kata Rohana, menjelaskan seni bina yang direka oleh arkitek Andrea Palladio.

Fungsi gedung indah di Lebuhraya Sultan Iskandar, tidak jauh dari pinggir Sungai Klang, berakhir apabila Yang di-Pertuan Agong ke-13 berpindah ke Kompleks Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim pada 15 November 2011.

Pada masa ini, Istana Negara lama berperanan sebagai Muzium Diraja yang menyimpan sejarah tradisi Diraja dan peranan pentingnya dalam sejarah tanah air.


Pengarang :