SHAH ALAM, 19 JUN: Kumpulan kedua Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue melibatkan lebih 30 peserta bakal menjalani latihan dan kursus keselamatan pada Julai.
EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata latihan selama lima hari itu dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Kali ini berbeza dengan kumpulan pertama yang dilatih di tasik. Untuk kumpulan kedua mereka menjalani latihan dalam hutan.
“Tujuannya untuk mendapatkan kemahiran menyelamat mangsa di kawasan air terjun serta membantu individu yang bermasalah ketika mendaki bukit,” katanya kepada SelangorKini.
Pada Oktober tahun lalu seramai 40 sukarelawan Serve Rescue kumpulan pertama menjalani latihan berdepan bencana banjir bersama JBPM Selangor selama empat hari.
Kumpulan itu dilatih cara menyelamat termasuk penyelamatan di air supaya boleh membantu negeri pada masa depan.
Sebelum ini Serve Rescue dikenali sebagai Serve Elit menerima peruntukan berjumlah RM100,000 bagi menjayakan penubuhannya.
Tawaran ahli terbuka kepada warga tempatan berusia 18 hingga 45 tahun, sihat tubuh badan tanpa kecacatan fizikal, boleh membaca dan menulis serta berminat menjalankan tugas sukarela dan aktiviti kemasyarakatan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/serve-500x333.jpg.webp)