Kontraktor LUAS meletakkan serbuk kayu di lokasi tumpahan minyak akibat kemalangan sebuah treler di Lebuhraya Elite Kilometer35 (arah utara) dari Nilai Utara ke Bandar Serenia, Sepang pada 26 Jun 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Tindakan pantas LUAS, Plus halang tumpahan diesel cemari loji air

SHAH ALAM, 27 JUN: Tindakan awal pihak berwajib berjaya mencegah risiko pencemaran susulan kemalangan sebuah treler di Lebuhraya Elite KM35 arah utara, pagi semalam.

EXCO alam sekitar berkata insiden itu menyebabkan tangki lori terbabit bocor dan sisa diesel memasuki longkang berhampiran, yang berpotensi menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA).

Hee Loy Sian memaklumkan pihak Plus Malaysia Berhad (Plus) meletakkan serbuk kayu di lokasi berkenaan sementara Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan perangkap minyak (oil pad).

“Siasatan LUAS sepanjang 500 meter di longkang berhampiran tidak menemukan sebarang kesan pencemaran sisa minyak. Keadaan longkang, takungan buangan dan jalan raya di kawasan terlibat telah kering dan tidak berbau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahan cemar terbabit berpotensi mengganggu operasi LRA Bukit Tampoi dengan anggaran jarak 1.19km dari lokasi insiden dan LRA Labohan Dagang (11km) jika tidak dihalang.

Loy Sian turut menyeru orang ramai melaporkan sebarang aktviti mencurigakan kepada LUAS untuk membolehkan tindakan tegas diambil dan mengelakkan pencemaran sumber air.

 


Pengarang :