EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tingkat daya saing, ikon Liga Usahawan berpeluang pasar produk ke luar negara

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA LUMPUR, 21 JUN:  Pemenang program Liga Usahawan Wanita Selangor berpeluang memasarkan produk mereka ke luar negara khususnya di Asia Tenggara.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata program berkenaan antara platform untuk meningkatkan daya saing wanita serta mengembangkan perniagaan di negara jiran

“Kerajaan Negeri di bawah portfolio pembangunan usahawan menyediakan banyak program perkembangan perniagaan yang boleh diikuti pemenang.

“Sekiranya mereka perlukan geran atau dana untuk kembangkan produk kita ada bantuan pinjaman selain sediakan bantuan geran untuk peralatan atau bantuan pembungkusan.

“Dengan cara ini kita yakin sekiranya mereka telah bersedia pentadbiran negeri akan beri peluang usahawan berjaya ini ke luar negara namun ikut skala kemampuan mereka,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima ketika Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu beliau hadir pada program pengumuman Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Hotel Sunway Putra di sini hari ini.

Menurut Rodziah menerusi program yang julung kali dilaksanakan itu seramai 10 usahawan wanita terbaik daripada 30 peserta  diberi peluang membuat pembentangan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan empat juri lain.

“Kali ini Tuanku fokus kepada wanita khususnya dari golongan B40 dan asnaf kerana kita rasakan golongan ini sering terpinggir dan tiada peluang untuk diberikan bimbingan.

“Menerusi program ini mereka dibimbing mentor yang sudah terkenal dan berjaya dalam bidang perniagaan.  Ini pengalaman berbeza bagi usahawan wanita kita,” katanya.

Program Liga Usahawan Wanita Selangor antara pelbagai program berimpak tinggi yang dilaksanakan negeri dengan matlamat memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan mampan melalui peluang perniagaan.

Program ini berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran, dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail ketika Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Pengarang :