Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perasmian Forum Selangor Mobiliti di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 15 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tumpu lokasi padat, Selangor Mobiliti diperluas ke lapan zon menjelang September

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor Mobiliti yang diperkenal pentadbiran negeri bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam bakal diperluas ke lapan zon menjelang September ini.

Dilaksana di Gombak, Selayang dan Puchong setakat ini, Dato’ Menteri Besar berkata zon lain sedang dikenal pasti dengan menumpukan kawasan padat selain permintaan terhadap laluan sempit.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu juga tidak hanya menumpukan mod pengangkutan tetapi melibatkan infrastruktur lain seperti hentian bas, mikromobiliti dan e-skuter.

“Kita akan kenal pasti zon berkenaan tetapi tunggu masa sesuai. Kita perlukan dua hingga tiga bulan sebab ia turut menggunakan aplikasi dan perlukan masa untuk keserasian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Forum Selangor Mobiliti di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 15 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jika maklum balas dan permintaan baik, saya percaya ia boleh dibesarkan ke zon lain. Secara automatik boleh kurangkan penggunaan bas dan beri tumpuan di zon lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Forum Selangor Mobiliti anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini hari ini.

Amirudin menambah pelaksanaan Selangor Mobiliti membuktikan negeri mempunyai inisiatif untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, sekali gus meningkatkan kebolehunian.

“Inisiatif ini selari teras kelestarian dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menumpukan matlamat bandar rendah karbon dengan migrasi daripada penggunaan pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam secara optimum,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 menekankan penjenamaan semula Bas Smart Selangor kepada Selangor Mobiliti bagi menambah baik kemudahan pengangkutan awam negeri, disokong sistem penganalisaan data.

Inisiatif tersebut meliputi semua mod pengangkutan awam dan infrastruktur sokongan bawah satu bumbung seperti bas, rel, teksi dan e-panggilan serta hab pengangkutan awam.


Pengarang :