Usahawan dan agensi dari Selangor menyertai Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Pihec) 2023 dari 23 hingga 25 Jun 2023 di Spice Arena Bayan Lepas, Pulau Pinang. Foto Ihsan Halal International Selangor
AGENSISELANGOR

Usahawan, agensi Selangor sertai persidangan halal Pulau Pinang, promosi produk negeri

SHAH ALAM, 28 JUN: Lima agensi dan usahawan dari Selangor menyertai Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Pihec) 2023 dari 23 hingga 25 Jun lalu.

Pengurus Besar HIS Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali berkata program di Spice Arena Bayan Lepas, Pulau Pinang itu bertujuan mempromosi produk halal dari negeri masing-masing.

Menurutnya, syarikat terlibat adalah Media Selangor Sdn Bhd, Invest Selangor, Institut Penasihat dan Penyelidikan dari Universiti Islam Selangor, GT Snack & Spice Distributors Sdn Bhd serta NIMS Adeliciousz Sdn Bhd.

“Ini kali kedua penyertaan delegasi Selangor ke Pihec dan sambutan sangat memuaskan terutama buat usahawan yang ingin menjalin kerjasama dalam hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Alhamdulillah, ketika persidangan itu salah satu produk makanan ringan syarikat NIMS Adeliciousz Sdn Bhd dari Selangor turut dilamar Buroq Petrol Station and Mart untuk memasarkan produknya di utara.

“Ini pencapaian membanggakan buat Selangor dan insya-Allah kita akan cuba membawa lebih ramai usahawan bagi mempromosi produk halal mereka ke negara luar,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Syaril berkata pihaknya juga menyasarkan penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan datang.

“Rata-rata usahawan yang menyertai acara seperti ini memberi maklum balas positif kerana mereka dapat menjalinkan kerjasama selain mengembangkan lagi produk,” katanya.


Pengarang :