Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, yang juga ahli parlimen Gombak (tengah) merasmikan van transit Trek Rides Gombak di Dewan MPKK Kampung Wira Damai, Batu Caves pada 12 Jun 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSIPBTSELANGOR

Van transit percuma mudahkan warga Gombak ke stesen komuter

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Penduduk sekitar parlimen Gombak boleh menikmati kemudahan van transit atas permintaan (demand-responsive transit) atau DRT secara percuma selama tiga bulan bermula 12 Jun.

Wakil rakyatnya Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkhidmatan e-panggilan Trek Rides Gombak merupakan usaha negeri dalam menyelesaikan masalah keterhubungan antara lokasi ke lokasi lain.

Jelasnya, sebanyak 71 lokasi pengambilan dan penghantaran terlibat seperti Kampung Laksamana dan Kampung Nakhoda, yang dihubungkan ke stesen komuter Batu Caves dan Dataran Bandar Baru Selayang.

“Bagi menggalakkan lebih ramai warga Gombak untuk mencuba dan menikmati perkhidmatan ini, Trek Rides Gombak akan menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk tiga bulan bermula 12 Jun.

“(Kos) akan ditanggung oleh pejabat Parlimen Gombak dan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam setiap hari,” katanya, yang juga Dato’ Menteri Besar di Facebook semalam.

Selasa lalu, beliau merasmikan perkhidmatan tersebut di Dewan MPKK Kampung Wira Damai, Batu Caves, yang turut dihadiri EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Trek App di Google Play Store atau App Store untuk tempahan, selain melayari laman web www.trekrides.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM25 juta bagi menambah baik kemudahan pengangkutan awam dengan RM22 juta diagihkan kepada 11 PBT untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor.

Baki RM3 juta lagi diperuntuk untuk Selangor Mobiliti Fasa Pertama, merangkumi perkhidmatan van DRT berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar.


Pengarang :