AGENDAJENAYAH

Wanita maut rumah dihempap bumbung sekolah diterbangkan angin

JOHOR BAHRU, 20 JUN: Wanita maut selepas rumahnya dihempap bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Seg Hwa di sini yang diterbangkan angin, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata V Mahadevi, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata dalam kejadian itu, lima anggota bomba yang berkejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.41 malam mendapati bumbung sekolah berkeluasan 5,400 kaki persegi yang diterbangkan angin menghempap sebuah rumah terletak bersebelahan sekolah.

“Terdapat seorang wanita dikeluarkan oleh orang awam (dari rumah itu) dan wanita berkenaan disahkan meninggal dunia. Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya operasi tamat sepenuhnya pada 8.21 malam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :