Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wujudkan formula khas perbelanjaan negara ketika darurat, bencana

SHAH ALAM, 6 JUN: Ahli Parlimen Gombak mencadangkan formula khas perbelanjaan negara ketika darurat atau bencana diwujudkan bagi memastikan berlaku semak dan imbang dalam setiap urusan.

Mengambil pengalaman negara yang darurat ketika berdepan pandemik Covid-19, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semak dan imbang perbelanjaan negara dapat mengelak berlakunya ketirisan.

“Mungkin kita perlukan satu formula khas ketika darurat atau langkah-langkah bencana yang mana perbelanjaan segera perlu dibuat tapi semak dan imbang, dokumentasinya itu perlu ditetapkan dan tepat.

“Perlu disemak supaya di masa depan kalau ada ‘kecurangan’ ketika mengambil kesempatan daripada bencana yang berlaku satu perkara yang sangat malang. Semak imbang tertentu harus kita teruskan supaya tidak terlepas,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 di Dewan Rakyat hari ini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menambah pengurusan dan tatakelola perbelanjaan perlu dilihat secara menyeluruh untuk mengelakkan berlaku ketirisan, kehilangan kewangan dan aktiviti mencurigakan.

“Semua sedia maklum LKAN bukanlah untuk menghukum, urusannya adalah untuk membetulkan urus tadbir dan tatakelola, melihat (secara) menyeluruh bagaimana menangani masalah yang sama.

“Dengan membahaskan hari ini kita wajar meningkatkan perbahasan kita bukan hanya soal jawatankuasa atau teknikaliti tetapi persoalan dasar apa yang perlu kira gubah supaya (perkara yang ditegur dalam LKAN) tidak berulang kembali,” katanya.

LKAN buat pertama kalinya dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini antara lain memperakui bahawa kerajaan memandang serius isu dibangkit dalam laporan itu selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri terlibat meneliti isu dibangkitkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) ketika membentangkan usul membahaskan LKAN 2021 Siri 2 hari ini berkata segala isu membabitkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan, tidak mematuhi syarat dan kelemahan dalam perancangan perlu diteliti.

Dato’ Seri Azalina Othman Said berkata semua pihak perlu mengambil pengajaran supaya tidak berulang dalam pelaksanaan aktiviti, program atau projek di masa hadapan.


Pengarang :