Anita Atan, 58, (kanan) ditemani kakaknya datang dari Kampung Melayu Batu 16, Rawang datang untuk berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Kampung Nakhoda Tengah, Gombak pada 6 Jun 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Suri rumah akui dapat berjimat, lebih 20 kali berbelanja di jualan murah

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 6 JUN: Seorang suri rumah bersyukur dapat berjimat apabila lebih 20 kali berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri sejak tahun lalu.

Norreah Mohammad, 58, dari Jalan Nakhoda Kiri 3 berkata dia dan suaminya Hussin Hassan, 65, yang kini tidak bekerja sentiasa menunggu program jualan murah untuk mendapatkan barangan dapur.

“Saya dan suami sudah lebih 20 kali bergilir-gilir pergi ke jualan murah sejak tahun lalu untuk membeli barangan yang ditawarkan terutama ayam, telur, daging dan beras.

“Jualan murah ni memang membantu saya dan suami berjimat kerana kami kini bergantung hidup dengan elaun suami sebagai bilal selain pemberian anak-anak. Terima kasih Kerajaan Negeri, syukur kami masih dapat makan lauk ayam dan daging setiap minggu,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu ketika JER peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Kampung Nakhoda Tengah, di sini hari ini.

Sementara itu, Anita Atan, 58, dari Kampung Melayu Batu 16, Rawang pula memberitahu dia sanggup menempuh perjalanan jauh demi membeli di jualan murah setiap minggu.

“Saya akan pergi ke mana-mana sahaja program JER yang saya tahu lokasinya dan setakat ini sudah lebih 20 program JER saya pergi.

“Hari ini saya pergi ke Kampung Nakhoda yang memakan masa kira-kira 30 minit dari rumah di Rawang,” katanya yang turut mengakui dapat berjimat.

Anita kini meneruskan kehidupan dengan baki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan mencari rezeki tambahan dengan melakukan pelbagai kerja sampingan.

“Syukur kami sekeluarga masih mampu membeli lauk setiap minggu dengan adanya jualan murah ini,” tambahnya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :