Lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dipasang di kawasan Serendah, Hulu Selangor pada 1 Julai 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

10 lampu LED dipasang sekitar DUN Batang Kali, tingkat keselamatan pengguna

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebanyak 10 lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar siap dipasang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Hulu Selangor 1 Julai lalu.

Penyelaras DUN Saifuddin Shafi Muhammad berkata antara lokasi pemasangan ialah Kampung Sungai Masin, Kampung Genting Malek, Kampung Padang dan Taman Seri Liam di Batang Kali serta Taman Bukit Teratai di Serendah.

“Lokasi yang dipilih adalah berdasarkan maklum balas di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan maklumat orang awam.

“Saya juga turun ke setiap lokasi pemasangan lampu solar ini dari 25 Jun bagi memastikan tahap kualiti pemasangan bertepatan dengan kepentingan awam bersama pimpinan setempat,” katanya menerusi Facebook.

Saifuddin Shafi turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengeluarkan perbelanjaan besar bagi menampung kos pemasangan lampu LED di semua 56 DUN negeri itu.

“Semoga memberi banyak manfaat kepada semua,” tambahnya.

Lampu diod pemancar cahaya (LED) dipasang di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 Jun 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Pada 11 Februari lalu EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi pemasangan lampu solar di seluruh Selangor yang bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut Izham pemasangan fasa pertama lampu solar yang bermula November tahun lalu telah selesai pada Disember melibatkan 31 DUN manakala fasa kedua bermula Mac tahun ini.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM28 juta diperuntukkan di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

 


Pengarang :