Penyandang kerusi DUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman (duduk,tengah) bergambar pada Majlis perasmian Selangor Xtiv Robotic eSport Skill 2023 Fasa 2 di Dewan MDKS , Saujana Utama pada 22 Julai 2023. Fopt MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

2,000 sertai e-sukan, dedah belia dengan kecerdasan buatan

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

KUALA SELANGOR, 22 JULAI: Program Kemahiran e-Sukan Robotik XTIV Selangor 2023 fasa 2 terus menerima sambutan menggalakkan apabila menarik 2,000 peserta selepas kejayaan fasa pertama minggu lalu.

EXCO sukan berkata program menggabungkan elemen robotik dan e-sukan itu turut mendapat maklum balas positif ibu bapa yang rata-rata masih kurang terdedah dengan manfaat dan kebaikan e-sukan kepada belia.

Menurut Mohd Khairuddin Othman usaha memberi pendedahan mendalam mengenai kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan bakat e-sukan tetap menjadi fokus utama Kerajaan Negeri khususnya untuk menarik minat lebih ramai belia.

“Matlamat inisiatif ini memastikan belia dilengkapi kemahiran teknologi robotik agar tidak ketinggalan dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Selain itu, kita mahu meningkatkan bakat dan kreativiti mereka yang mampu menyumbang manfaat besar kepada pembangunan modal insan di Selangor,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan program itu di Dewan MPKS Saujana Utama, Sungai Buloh di sini, beliau menjelaskan penganjuran program sedemikian amat perlu supaya ibu bapa tahu e-sukan sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat kita hari ini.

“Saya selalu tekankan kalau Kerajaan Negeri anjur (program), ibu bapa tahu yang ia baik dan memberi manfaat kepada anak mereka. Kita anggap bidang e-sukan penting kerana ia sudah sampai ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan antarabangsa.

“Kita tidak mahu golongan belia bergerak dalam e-sukan tanpa ada kawalan dan panduan daripada kerajaan dan sebab itu kerajaan anjur program selama empat hari ini dan berjaya kumpul hampir 4 ribu peserta,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan meneruskan program berkenaan untuk masa akan datang dengan skala yang lebih besar.

“Saya berharap sekolah dan jabatan pendidikan negeri dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri -untuk mengadakan sesi penerangan yang lebih sistematik tentang e-sukan kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Program yang julung kali dianjur itu menerima sambutan menggalakkan dengan disertai 1,712 peserta termasuk luar negeri minggu lalu di tapak parkir Econsave, Paya Jaras, Sungai Buloh.


Pengarang :