Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

30,000 warga Selangor terima bantuan RM3,600 setahun tangani kos hidup

SHAH ALAM, 14 JULAI: Seramai 30,000 penduduk di negeri ini layak menerima bantuan barangan dapur dan keperluan asas berjumlah RM3,600 setahun. Bukan saja makanan, penerima juga boleh membeli barangan sekolah dan barang mandian.

Awalnya program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dilancar bagi membantu penduduk berdepan pasca pandemik Covid-19. Namun, demi membantu rakyat berdepan kos hidup tinggi, ia diteruskan sehingga kini.

Program BINGKAS antara inisiatif Kerajaan Negeri mengagih kekayaan kepada rakyat. 15 tahun lalu, agenda kebajikan dirasai rakyat negeri ini susulan kemenangan gabungan parti Pakatan Rakyat (sekarang Pakatan Harapan) dalam pilihan raya umum 2008.

Sebelum BINGKAS yang termasuk dalam Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor dilaksana, bantuan disalur menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT).

Setiap peserta menerima RM200 sebulan atau RM2,400 setahun. Menyedari keperluan semasa semakin mendesak, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan 2022 mengumumkan penambahbaikan kepada inisiatif itu. Ia dijenamakan semula menjadi BINGKAS.

Penerima BINGKAS P Selvarani, 39, membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di sebuah pasar raya di Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Nilai bantuan ditingkat kepada RM300 sebulan atau RM3,600 setahun. Bilangan penerima bertambah daripada 21,000 kepada 30,000 peserta, sekali gus memanfaatkan sehingga 180,000 warga Selangor.

Peruntukan besar RM108 juta untuk inisiatif itu membuktikan keazaman menjaga kebajikan rakyat. Kumpulan berpendapatan rendah sememangnya terjejas teruk akibat kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan Selangor lebih ke hadapan menghulurkan tangan untuk kumpulan itu. BINGKAS membantu mereka sekurang-kurangnya menyediakan keperluan asas hidup.

Peningkatan sebanyak RM100 itu juga tepat pada masanya. Selain berdepan masalah kenaikan harga barang, ada kumpulan baru hendak bangkit daripada dampak Covid-19.

Mereka boleh membeli pelbagai jenis barangan di premis terpilih. Antaranya beras, mi, telur dan minyak masak. Bagi keluarga yang ada anak kecil serta bersekolah, lampin pakai buang, susu tepung, barangan sekolah dan buku juga boleh dibeli menggunakan kad BINGKAS.

Untuk memohon, layari laman sesawang bingkasselangor.com dan pilih kotak daftar permohonan. Turut disertakan maklumat berhubung dokumen diperlukan untuk menjadi peserta BINGKAS.

Pembayaran menggunakan e-dompet WavPay.

(Diolah daripada rencana asal oleh Amin Ridzuan Ishak)

Berikut reaksi penerima dan orang ramai mengenai BINGKAS pada 30 Mac dan 7 Julai:

PENERIMA

“Sebagai orang buta, tidak banyak boleh dilakukan untuk bantu tambah pendapatan suami bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dengan BINGKAS dapat beli keperluan kami tujuh sekeluarga. Bantuan RM300 besar makna buat kami.”
-Nurhazwani Amil dari Shah Alam

“Kalau hendak harapkan perniagaan taufu fa yang saya buat secara kecil-kecilan memang tidak mencukupi buat kami sekeluarga. Lebih-lebih lagi saya menghidap penyakit kronik, saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sedia bantuan RM300 sebulan untuk kumpulan memerlukan macam kami ini.”
Muhammad Raffei Roslan dari Klang

“Sebagai ibu tunggal memang mencabar menyediakan keperluan lima anak kecil. Mereka memerlukan makanan berkhasiat untuk membesar. Mujur ada BINGKAS. Tidaklah kami terputus bekalan makanan dan ketika Ramadan dapat sediakan hidangan berbuka dan sahur.”
Nurul Nadia Shaharuddin dari Shah Alam

ORANG RAMAI

“Bantuan RM300 sebulan siapa mahu bagi? Baguslah sekurangnya dapatlah bayar makanan anak-anak bagi yang memerlukan. Sudah tentulah kos bulanan pun akan dikurangkan, tak perlu berbelanja lebih. Kalau mereka yang ada keluarga besar lagi memudahkan.”
-Nooraini Shamsudin dari Kajang

 

 

“Bagi mereka yang kerja sendiri sangat membantu. Sebulan RM300 fokus keluarga dengan tanggungan lebih 10 orang. Memang ramai yang gunakan BINGKAS beli susu anak, lampin pakai buang. Sangat membantu. Saya dapat banyak dapat maklum balas, risau kalau kalau negeri tidak teruskan BINGKAS.”
-Farhana Misra dari Sijangkang

 

 

“Saya bukan penerima BINGKAS, tetapi ada kawan terima. RM300 sebulan itu banyak. Boleh beli susu, lampin pakai buang, beras. Semua keperluan. Kerajaan Selangor prihatin dengan rakyat. Hasil ekonomi negeri yang kaya dikongsi dengan penduduk.”
-Reynilda Julia Syafri dari Kajang


Pengarang :