Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 10 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Dadah bernilai RM553,927 dirampas dalam tempoh tiga hari Op Tapis Khas 3

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM553,927 sepanjang tempoh tiga hari Op Tapis Khas 3 dijalankan dari Isnin hingga Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata nilai itu membabitkan 202.57 kilogram dan 2,789 liter pelbagai jenis dadah termasuk pokok ganja yang dirampas dalam operasi itu.

Beliau berkata dalam tempoh itu 4,718 individu berusia 14 hingga 70 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan dadah.

Mohd Kamarudin berkata daripada jumlah itu 2,272 adalah penagih dadah diikuti lain-lain kesalahan (1,542), pengedar (655) dan orang yang dikehendaki (249).

“Selain itu PDRM juga mengambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM418,160,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Kamarudin juga berkata, Op Tapis Khas yang dijalankan sejak Januari hingga Rabu lalu menyaksikan 12,639 individu ditahan dan polis merampas 2,304 kilogram serta 3,967 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM22,158,480.

Beliau berkata objektif operasi khas itu antaranya untuk mengesan dan menangkap pengedar dadah di kawasan tumpuan yang dikenal pasti; memusnahkan sarang penagihan dadah; mengambil tindakan terhadap penagih tegar; serta mengesan dan menangkap orang dikehendaki atas kesalahan dadah.

“PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“PDRM berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di sekeliling mereka melalui talian utama JSJN 012-208 7222,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :