Penyandang DUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman menyampaikan anugerah kepada pelajar pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di tapak parkir pasar raya Econsave, Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIEXCOSELANGOR

340 pelajar cemerlang SPM DUN Paya Jaras dirai, terima pengiktirafan

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SUNGAI BULOH, 20 Julai: Seramai 340 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang semalam.

Pelajar terlibat adalah daripada enam sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sierramas, SMK Bukit Gading, SMK Bandar Baru Sungai Buloh dan SMK Paya Jaras.

Penganugerahan itu turut diterima pelajar daripada SMK Bukit Rahman Putra dan SMK Saujana Utama serta Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.

Menghargai inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri, pelajar yang dinobatkan pelajar terbaik DUN Paya Jaras, Henry Yap Jet Kang berkata, pengiktirafan itu perkara paling bermakna buat dirinya.

“Anugerah seperti ini dapat menggalakkan pelajar berusaha lebih gigih bagi mencapai prestasi akademik yang lebih baik.

Henry Yap Jet Kang dari Sekolah Menengah Bukit Rahman Putra menerima Anugerah Pelajar Terbaik pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 DUN Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada YB Khairuddin (Mohd Khairuddin Othman) kerana menganjurkan majlis ini, ia sangat bermakna bagi saya,” katanya ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Paya Jaras di tapak parkir Pasar raya Econsave di sini semalam.

Bagi Nur Muhammad Suffi Saifuldin usaha gigih untuk memperoleh keputusan cemerlang berbaloi dengan pengiktirafan yang diterimanya.

“Bersyukur sangat, tidak pernah terfikir berpeluang menerima anugerah dan sumbangan seperti ini.


Nur Muhammad Suffi Saifuldin dari Sekolah Menengah Bukit Gading menerima anugerah pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 DUN Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Harap peluang seperti ini dapat dinikmati pelajar cemerlang lain pada masa depan,” katanya.

Wan Amanda Amelyn Wan Darul Azrin berkata dia tidak menyangka terpilih menerima pengiktirafan itu.

“Alhamdulillah, pengiktirafan dan sumbangan ini membakar semangat saya untuk terus menuntut ilmu dan mengejar cita-cita.

Wan Amanda Amelyn Wan Darul Azrin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh menerima anugerah pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 DUN Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Rezeki yang tak disangka, sama seperi keputusan SPM yang saya peroleh,” katanya.

Pada majlis itu, EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai RM200 sumbangan Kerajaan Negeri kepada pelajar terpilih.


Pengarang :