Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid An Naim, Kampung Jalan Kebun pada 26 Mei 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Agihan kerusi HARAPAN-BN selesai, Anwar bayangkan rampas dua negeri PN

PUTRAJAYA, 4 JULAI: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata proses pengagihan kerusi antara HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri telah selesai.

Semasa ditemui pemberita selepas melancarkan Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di sini hari ini, perdana menteri berkata beliau telah bertemu Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini untuk menyelesaikan isu pengagihan kerusi melibatkan dua gabungan itu.

“Setakat ini tidak ada (isu pertindihan), saya telah bincang dengan Pengerusi BN, cuma sekarang beri ruang kalau ada pandangan dikemuka kepimpinan negeri sama ada PH atau BN,” kata beliau.

Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ditanya mengenai fokus Kerajaan Perpaduan bagi PRN kali ini, beliau memberi bayangan bakal merampas dua lagi negeri serta mempertahankan tiga negeri sedia ada.

“Saya lihat tiga negeri itu sangat kuat boleh pertahan dan insya-Allah, kita boleh nampak menjurus kepada dua negeri lagi,” katanya tanpa mendedahkan dua lagi negeri yang bakal ditawan itu.

Tiga negeri yang kini dikuasai PH ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak semalam dilaporkan berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu ini untuk membincangkan tarikh-tarikh penting PRN bagi enam negeri yang terlibat.

Mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :