Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan hadirin ketika sesi pendengaran awam bersama rakyat anjuran Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada 24 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin yakin rakyat bijak memilih, menilai pencapaian negeri

SHAH ALAM, 25 JULAI: Dato’ Seri Amirudin Shari yakin rakyat akan membuat pilihan bijak mengekalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Pengerusi HARAPAN negeri berkata rakyat boleh menilai pelbagai inisiatif kebajikan yang disediakan serta pencapaian pentadbiran negeri selama tiga penggal sejak 2008.

“Kita beri penjelasan kepada rakyat apa yang telah dan akan kita lakukan. Ini akan menjadi tawaran kita, bukan hanya memainkan sentimen semata-mata.

“Saya tak rasa rakyat Malaysia ingin kembali kepada ketidaktentuan (politik) seperti sebelum ini. Ini peluang terbaik memulihkan keadaan dan kita perlukan pendamaian besar-besaran yang diinginkan khususnya selepas pilihan raya negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Town Hall Rakyat bertempat di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini, malam tadi

Katanya, rakyat Selangor turut memberi respon positif  dengan gabungan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah respon yang baik daripada rakyat di bawah dan juga pandangan ramai pihak yang mengatakan kita boleh kekal.

“Tetapi dalam politik kita tidak boleh ambil mudah, selesa dan terlalu yakin. Saya sentiasa titik beratkan kerja keras,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berharap pemimpin muda politik untuk memandang ke depan demi menjayakan Malaysia yang lebih matang, demokratik dan tahu keutamaan.

“Lumrah dalam politik apabila yang kawan menjadi lawan dan sebaliknya. Namun sekiranya yakin berada di landasan benar, kita perlu konsisten dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :