Aksi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di Terbuka Korea pada 21 Julai 2023. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Badminton: Semua wakil negara tersingkir di suku akhir Terbuka Korea

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Korea 2023 terhenti di pusingan suku akhir apabila dua wakil terakhir negara ditunjukkan jalan keluar.

Pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dipaksa bekerja keras selama 45 minit dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu, tetapi masih tidak memadai untuk menundukkan juara dunia 2021 Loh Kean Yew dari Singapura.

Tze Yong, rangking ke-23 dunia tewas 22-20, 21-19 kepada pemain nombor lapan dunia itu.

Pada separuh akhir esok, pemain Singapura itu akan berdepan pilihan utama Kodai Naraoka dari Jepun yang menyingkirkan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-17, 21-18.

Sementara itu, dalam suku akhir beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dijinakkan oleh gandingan nombor satu dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia  2019 dan 2022  itu menang mudah 21-9, 23-21 untuk mara ke separuh akhir.

— BERNAMA


Pengarang :