Ahli keluarga dua beranak Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, yang maut dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat pada 3 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Bapa sayu hilang sembilan ahli keluarga sekelip mata, reda dengan ujian

KUALA TERENGGANU, 3 JULAI: Walaupun berat ujian ditanggung, Eiyi Johari, 60, bapa Allahyarham Azizah Eiyi, 40, yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, reda dengan pemergian anaknya.

Selain Azizah anak ketiga daripada tujuh beradik itu, dia turut kehilangan menantu, Karim Abdullah, 39, (suami Azizah) dan tujuh cucu yang turut sama dalam perkelahan di kawasan rekreasi berkenaan.

Menurut Eiyi dia tidak menyangka kehilangan sembilan ahli keluarga tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi mereka baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama.

Bapa mangsa, Eiyi Johari, 60, tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menunggu keputusan bedah siasat pada 3 Julai 2023. Foto Bernama

“Saya reda dengan ujian ini… (Pada hari kejadian) saya keluar bekerja dan dimaklumkan isteri mereka sekeluarga berkelah.

“Mereka tidak tinggal serumah dengan kami, tetapi masih dalam kampung sama. Suaminya pula berulang-alik kerja dari Felda Lepar Hilir ke Air Putih setiap hari,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman turut menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin.

Ariffin berkata kejadian tragedi kepala air di kawasan Jeram Air Putih itu merupakan kejadian luar jangka kerana berlaku di luar musim tengkujuh.

Anggota pasukan penyelamat mengusung mayat dipercayai kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih di Sungai Teladas pada 3 Julai 2023. Foto Bernama

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang ingin keluar beriadah terutama di kawasan rekreasi air mendapatkan maklumat ramalan cuaca daripada laman web agensi berkaitan.

“Jabatan Meteorologi ada keluarkan amaran hujan lebat dan ribut melibatkan negeri Semenanjung sehingga 5 Julai ini.

“Saya harap sesiapa yang ingin melakukan aktiviti di air lebih peka dengan amaran berkaitan bagi mengelak sebarang tragedi,” katanya.

Anggota pasukan penyelamat diberi taklimat sebelum memulakan operasi mencari lapan mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih ketika tinjauan di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih pada 3 Julai 2023. Foto Bernama

Setakat hari ini, tujuh mangsa telah ditemukan termasuk penemuan mayat Azizah dan anak lelakinya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, tengah hari semalam manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemukan.

Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada 6 petang semalam akibat cuaca buruk diteruskan semula kira-kira 9 pagi tadi.

– BERNAMA


Pengarang :