Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bayi enam bulan maut dipercayai didera pengasuh

IPOH, 16 JULAI: Bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia disyaki didera ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Taman Tawas Indah, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, berkata bayi malang itu menghembuskan nafas terakhir petang kelmarin di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dua hari berada dalam keadaan koma.

“Bayi itu dibawa ke hospital oleh pengasuhnya pada Rabu lalu dengan menggunakan ambulans selepas dilihat tidak bermaya,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Beliau berkata ketika pemeriksaan, pihak hospital mendapati bayi itu berada dalam keadaan koma selain terdapat kesan lebam di badan akibat didera.

Katanya, bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaaan di kepala akibat objek tumpul.

Menurutnya, susulan itu, polis menahan pengasuh berkenaan, seorang wanita tempatan berusia 52 tahun, Khamis lalu dan direman empat hari bermula Jumaat lalu sehingga Isnin ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan siasatan, suspek menjaga bayi terbabit sejak Mac lalu kerana ibu bapa mangsa bekerja di Australia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :