Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mencemar duli berkenan memberi penganugerahan kepada Tokoh Maal Hijrah Selangor kepada Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, 72. pada program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 18n Julai 2023 Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekas mufti Selangor dinobat tokoh Maal Hijrah peringkat negeri

SHAH ALAM, 19 JULAI: Ahli Dewan di-Raja Selangor Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1445 Hijrah peringkat negeri Selangor.

Anak jati Kampung Parit 4, Sungai Besar, Selangor berusia 72 tahun merupakan bekas mufti negeri ini selama 23 tahun sejak 16 Mac 1998 sehingga 20 Mei 2021.

Mohd Tamyes ketika ditemui media berkata beliau tidak pernah terfikir akan memenangi anugerah itu selama 41 tahun berkhidmat dalam jabatan kerajaan sekali gus menzahirkan rasa syukur.

“Saya tidak pernah menduga mahupun bercita-cita untuk diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah selama berkhidmat dalam jabatan kerajaan.

Tokoh Maal Hijrah Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, 72. ketika ditemui Media Selangor selepas program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 18n Julai 2023 Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya menerima qada dan qadar dan menganggap kejayaan ini adalah hasil usaha bersama sahabat saya Dato’ Mufti (Dato’ Dr Anhar Opir), pegawai kerajaan dan seluruh kakitangan Kerajaan Negeri.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1445H/2023M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Mohd Tamyes yang juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian dari Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir berharap anugerah diterimanya menjadi pendorong kepada individu lain.

“Mudah-mudahan kejayaan ini menjadi pendorong buat semua pegawai di Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor supaya kerja dengan jujur dan telus,” katanya.

Terdahulu, Mohd Tamyes menerima wang tunai RM20,000 sumbangan Kerajaan Negeri, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Anugerah berkenaan disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :