Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bela nasib wanita, negeri sedia bantuan guaman kes syariah

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 10 JULAI: Peruntukan inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor ditingkatkan kepada RM2 juta berbanding RM1 juta sebelum ini bagi memastikan lebih ramai golongan berpendapatan rendah menerima manfaat.

Dato’ Menteri Besar berkata pertambahan dana itu dibuat selepas kes syariah dimasukkan dalam senarai bantuan manakala had kelayakan isi rumah keluarga juga dinaikkan dari RM2,000 kepada RM5,000.

“Sebelum ini, dana ini hanya tertakluk bagi kes kekeluargaan (sivil). Peluasan skop ini akan membantu lebih ramai wanita yang ditindas dan memerlukan bantuan guaman dalam isu domestik.

“Malah sebelum ini, dana ini terbuka untuk keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah sahaja tetapi sekarang ditingkatkan kepada RM5,000. Inisiatif ini adalah usaha Kerajaan Pakatan Harapan untuk membela nasib golongan wanita di Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook

Pada 25 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan skim bantuan guaman percuma bakal diperluas ke kes syariah bagi membantu wanita yang tertindas.

Selangor muncul negeri pertama menyediakan bantuan berkenaan dengan peruntukan RM1 juta menerusi penubuhan skim terbabit pada 24 Julai 2022.

Inisiatif tersebut bagi menyelesaikan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam bagi memastikan masyarakat tidak ditindas dan terpinggir.


Pengarang :