Keadaan bangkai helikopter kendalian bomba yang terlibat dalam kemalangan di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 22 Julai 2023. Foto Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Bomba jalan siasatan dalaman nahas helikopter di Subang

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden helikopter model Agusta AW189 miliknya yang terlibat dalam kemalangan di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pagi semalam.

Dalam kenyataan hari ini JBPM memaklumkan bahawa ia akan mengambil tindakan susulan selaras dengan dapatan dan arahan serta prosedur semasa yang berkuat kuasa.

“Pada masa ini, Biro Siasatan Kemalangan Udara (agensi di bawah Kementerian Pengangkutan) juga sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Menurut JBPM, pesawat itu dilaporkan telah ditugaskan untuk menjalani pengujian enjin dan sistem pesawat kira-kira pukul 11.40 pagi semalam setelah melalui proses penyelenggaraan berkala yang ditetapkan oleh pihak pengeluar seperti dalam program selenggaraan.

“Setelah beberapa ketika pesawat berada dalam pengujian, berlaku kemalangan ke atas pesawat, ia masih belum membuat penerbangan. Keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan mendung, tanpa sebarang halangan di tempat kejadian,” katanya.

Ketika kejadian pesawat dikendalikan oleh anak kapal JBPM iaitu Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman (komander pesawat) dibantu oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan seorang Air Quartermaster, Pegawai Bomba Kanan I Fua’ad Jamaluddin.

Selain itu, empat krew selenggaraan daripada Syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd turut berada di dalam pesawat iaitu Muhammad Mohd Taib (ketua jurutera), Ahmad Zhafri Mohd Nor (jurutera avionik), Mohammad Zhafir Mohammad (pelatih) dan Ryan Xavier Julius (pelatih).

Kata JBPM, kesemua anak kapal dan krew senggaraan yang terlibat telah mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Mangsa dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali seorang krew selenggaraan yang mengadu sakit pinggang dan diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan dan setelah pemeriksaan rapi, beliau telah dibenarkan pulang dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” kata JBPM.

-BERNAMA


Pengarang :