Anggota bomba mencari remaja lelaki yang dilapor lemas di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi pada 23 Januari 2023. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor.
AGENDAJENAYAH

Bomba terima 1,595 panggilan kecemasan kes lemas dalam tempoh lima tahun

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 1,595 panggilan kecemasan, bagi kes lemas untuk tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022.

Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Nordin Pauzi berkata daripada jumlah itu, 1,341 panggilan kecemasan merupakan kes lemas yang menyebabkan kematian.

Beliau berkata jika dilihat secara purata dalam setahun, JBPM merekodkan 268 kes lemas.

“Angka ini sangat besar kalau dalam sebulan purata kes pula boleh dikatakan 23 kes, iaitu kira-kira satu kes sehari dan ini berdasarkan statistik.

“Berdasarkan statistik ini juga, golongan lelaki mempunyai peratusan tertinggi, iaitu 89 peratus yang terlibat dalam insiden lemas sehingga menyebabkan kematian,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Sementara itu, mengenai sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia 2023 pada hari ini, Nordin berkata sambutan itu bagi memperingati kepentingan pencegahan tragedi lemas dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Beliau berkata sambutan itu juga, perlu dihayati oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab termasuk juga pemain industri, seperti pihak pengurusan hotel yang mempunyai kolam dan taman tema air.

“Ambil peluang pada hari ini untuk semak semula prosedur operasi standard, untuk lihat semula peralatan keselamatan. Sekurang-kurangnya kita ada satu hari untuk kita berhati-hati atau mengawasi perkara berkaitan keselamatan di air,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :