Dewan masyarakat di Kampung Bestari Jaya siap dibaik pulih di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) pada 3 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNSELANGOR

Dewan masyarakat Kampung Bestari Jaya siap dibaik pulih, libat kos RM50,000

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 11 JULAI: Dewan masyarakat di Kampung Bestari Jaya siap dinaik taraf dengan kos RM50,000 sekaligus memberi keselesaan penduduk setempat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berkata kerja baik pulih yang bermula 22 Mei lalu itu siap pada 3 Julai menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri melalui Projek Selangor Penyayang (PSP).

“Projek baik pulih dewan di Kampung Bestari Jaya yang telah usang itu telah diluluskan sebelum DUN dibubarkan.

“Kerja-kerja tersebut antaranya melibatkan penukaran pagar, baiki lampu berdekatan gelanggang sepak takraw, menukar kipas dan siling baharu,” kata Rozana Zainal Abidin kepada Selangorkini.

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM28 juta diperuntuk di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

Pagar dewan masyarakat di Kampung Bestari Jaya siap dibaik pulih di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) pada 3 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Pengarang :