Penyandang DUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman memasak daging korban pada program korban perdana Aidiladha di Dewan MDKS Saujana Utama Sungai Buloh pada 2 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Paya Jaras alami pertambahan pengundi selepas daftar pemilih automatik 2022

SUNGAI BULOH, 3 JULAI: Selepas pendaftaran pemilih dilaksanakan secara automatik tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras turut mengalami pertambahan pengundi.

Penyandangnya Mohd Khairuddin Othman berkata ketika ini pengundi yang berdaftar 73,000 berbanding lebih 40,000 pengundi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Pertambahan ramai pengundi di Paya Jaras. Hampir 40 peratus pengundi di DUN Paya Jaras merupakan individu berumur 18 hingga 40 tahun.

“Dengan adanya sistem pengundi automatik ini, ia bertambah dengan amat signifikan,” katanya ditemui pada program Korban Perdana Aidiladha di Saujana Utama di sini semalam.

Sementara itu, Khairuddin berkata beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan nasibnya dalam pilihan raya negeri (PRN).

Menurutnya, semua jentera sudah digerakkan termasuk bersama Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan penguasaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Paya Jaras.

“Kami sudah bermesyuarat bersama BN dua minggu lalu dan kami yakin untuk kita bekerjasama mempertahankan Selangor,” katanya.

Pada PRU lalu, Khairuddin mengekalkan kerusi Paya Jaras bagi penggal kedua dengan majoriti lebih besar.

Beliau menang dengan majoriti 12,072 undi menewaskan pencabarnya, calon BN Datuk Zein Isma Ismail dan Hanafi Zulkapli daripada PAS.


Pengarang :