Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ekonomi melonjak saban tahun, pelabur yakin tadbir urus negeri

OLEH ABDUL RAHIM SABRI & NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 JULAI: Pelaburan luar negara dan tempatan dalam tiga sektor utama khususnya perkilangan sentiasa besar di Selangor. Jumlah ini membuktikan banyak pihak yakin pada kepemimpinan, tadbir urus dan kestabilan politik.

Ketika Dato’ Seri Amirudin Shari mula memimpin pada 2018, Selangor mencatat jumlah pelaburan diluluskan RM24.7 bilion. Jumlah itu meningkat kepada RM47.8 bilion setahun kemudian.

Sewaktu wabak Covid-19, yang menjejaskan ekonomi dunia dan Malaysia, jumlah pelaburan lebih rendah, RM38.7 bilion dan RM28.8 bilion masing-masing pada 2020 dan 2021.

Walau kerajaan persekutuan dan banyak negeri mengalami pertukaran kerajaan akibat krisis politik, Selangor yang kekal stabil melonjakkan lagi jumlah pelaburan daripada RM47.8 bilion pada 2019 kepada RM60.1 bilion tahun lalu.

Demi meningkatkan lagi kemajuan Selangor, Kerajaan Negeri merangka pelan pembangunan lima tahun. Dikenali Rancangan Selangor Pertama (RS-1), dokumen itu menggariskan 14 petunjuk pencapaian sebagai ukuran kejayaan menjelang 2025. Ia dibahagikan kepada empat tema strategik.

Sasaran penting kejayaan RS-1 bermula 2021 antaranya:

  1. Mempertingkatkan pendapatan isi rumah penengah RM9,290 sebulan
  2. Menurunkan paras kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus
  3. Sasaran 3.5 juta hingga 3.8 juta tenaga kerja tahunan
  4. Jumlah pelaburan RM25 bilion hingga RM35 bilion setahun
  5. Pertumbuhan purata KDNK antara 6.5 hingga 7 peratus setiap tahun
  6. Menyediakan bekalan air bersih 24 jam setiap hari
  7. Penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi hingga 70 peratus bagi setiap 100 premis
  8. Pendigitalan khidmat awam akan ditingkatkan sehingga 85 peratus
  9. Indeks Kesejahteraan Keluarga dalam lapan bidang pada skor 8 (tinggi)
  10. Kitar semula sisa pepejal, termasuk untuk dijual, hingga 15 peratus

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)

Selangor sentiasa giat mempromosi negeri sebagai gerbang ekonomi serantau dan mesra perniagaan. Menerusinya, Kerajaan Negeri menawarkan program menggalakkan pelaburan dari luar negara datang ke negeri ini.

Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan Negeri menganjurkan SIBS sejak 2015.

Program itu berjaya menarik kehadiran pelabur tempatan dan luar negara dengan nilai transaksi kira-kira RM1.35 bilion sejak diperkenal pada 2015 hingga 2021.

Acara utama SIBS antaranya Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, serta Persidangan Perniagaan Asean Selangor.

Bagaimanapun, nilai transaksi pada 2022 meningkat drastik kepada RM1.45 bilion. EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 November 2022 dilapor berkata 75 peratus daripada 44,342 pelawat SIBS 2022 terdiri ahli perniagaan manakala bakinya orang awam.

Pameran Udara Selangor (SAS)

Pada 2021, pameran udara ini membuka ruang perniagaan dan rangkaian sektor aeroangkasa dan penerbangan. Julung kali diadakan, nilai transaksi direkod RM100 juta.

Pada tahun itu, sebanyak 12 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai. Sebanyak 43 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai acara itu dan dikunjungi 4,987 orang.

SAS 2022 pula mencatat transaksi RM1.174 bilion. Jumlah MoU meningkat kepada 14 perjanjian pelbagai subsektor industri aeroangkasa ditandatangani. Sebanyak 10,563 pengunjung hadir. 62 peserta pameran dari lima negara hadir.

Untuk edisi ketiga SAS pada 7 hingga 9 September tahun ini pula, Kerajaan Negeri menyasarkan melalui kehadiran 12,000 pengunjung dan 50 pempamer.

Dijangkakan nilai transaksi sebanyak RM2 bilion.

Pelawat dari Mycopter Aviation Services tidak melepaskan peluang berswafoto dengan kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam sektor e-dagang dan pendigitalan, Invest Selangor menerusi agensinya Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) menyasarkan negeri sebagai hab digital serantau.

Memetik kata Chang Khim dalam Dewan Negeri pada 14 Mac, SIDEC menyumbang kepada ekonomi Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM334.37 juta menerusi pelbagai aktiviti e-dagang dan digitalisasi sejak 2015.

Kejayaan Selangor ini mendapat maklum balas sangat positif rakyat ketika ditemui Selangorkini pada 7 Julai.

“Yang ada sekarang ini (kerajaan) kena teruskan, dah baik, jangan ganti yang lain kalau boleh. Semua sekarang terbaik. Kalau kita tengok, bantuan berbanding negeri lain, Selangor paling ok. Penjawat awam, peniaga semua ok.”

Noor Zauree Che Noor, 58, peniaga

“Setakat ini saya tengok apa yang Kerajaan Selangor janji, dia akan buat. Isu perumahan contohnya, mereka cuba buat baik-baik. Bagi orang duduk dan beli dengan harga murah. Kalau boleh biarlah kerajaan bawah pimpinan Amirudin kekal.”

Reynilda Julia Syafri, 40, peniaga

“Setahu saya Selangor ini macam-macam ada, saya rasa rugi bila pindah Kuala Lumpur dan IC saya pun dah tukar. Walhal saya asal Selangor. Bila tengok akhbar, rupa-rupanya macam-macam diberi. Memang untung jadi orang Selangor.”

Salwa Ali, 50, peniaga

 


Pengarang :