Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sidang media sempena Program Santuni Kasih di Bazar Rakyat SK 6/1, Seri Kembangan pada 11 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ekonomi Selangor berkembang, rizab naik bukti kemampuan Kerajaan Negeri

Oleh Fhatihah Zakinan

SERI KEMBANGAN, 11 JULAI : Kejayaan Selangor mencatat peningkatan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 25.5 peratus adalah bukti kemampuan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata sejak Selangor ditadbir HARAPAN pada 2008, rizab negeri tersebut juga meningkat berkali ganda.

“Selangor bukan sahaja mendahului negeri lain dengan pertumbuhan KDNK dan sumbangan tertinggi malah menyaksikan pertumbuhan luar biasa sehingga 10 kali ganda sejak PH menerajui negeri ini.

“Sebanyak 25.5 peratus KDNK negara datang dari Selangor sahaja. Wang rizab negeri juga meningkat hampir 10 kali ganda.

“Saya masih ingat tahun 2008, PH mula menerajui Selangor dengan jumlah wang rizab ketika itu pada RM470 juta, dan hari ini meningkat kepada RM3.4 bilion, peningkatan kepada lapan hingga 10 kali ganda,” katanya.

Beliau yang juga menteri pembangunan kerajaan tempatan ditemui pemberita sempena program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Selangor di sini, hari ini,

Maklum beliau, kejayaan itu tidak mampu dicapai oleh negeri lain terutama di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Jika dibandingkan dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah dipimpin pembangkang, memang ini tercorot ke bawah. Jadi, saya seru marilah ,elakukan perubahan di negeri-negeri tersebut.

“Pastikan momentum kecemerlangan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, ini wajib dipertahankan,” katanya


Pengarang :