Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan layak bertanding Piala Asia selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya sasar ranking 130 terbaik menjelang hujung tahun

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak ketika ini mempunyai alasan konkrit untuk membuang ‘ukiran cemberut’ di wajah, selepas pasukan negara akan kembali beraksi di pentas tertinggi pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Peningkatan prestasi ditunjukkan skuad Harimau Malaya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, menyaksikan peminat kembali tersenyum selepas sekian lama dirundung kekecewaan.

Membangunkan bola sepak negara dan melihat peminat gembira merupakan impian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, apabila dilantik menduduki kerusi panas itu kira-kira lima tahun lalu pada 14 Julai 2018.

Kemajuan pasukan negara dalam tempoh lima tahun di bawah kepimpinan Hamidin terbukti, apabila ranking Malaysia melonjak 34 anak tangga dari kedudukan 171 pada Jun 2018 ke posisi 137 baru-baru ini, sekali gus bergerak ke arah matlamat berada dalam kelompok 70 pasukan terbaik pada 2030.

Posisi ke-137 merupakan ranking terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di tangga ke-127 pada Mei 2006 dan Hamidin mempunyai misi untuk memastikan skuad Harimau Malaya menembusi kelompok 130 terbaik pada hujung tahun ini.

Dalam tempoh lima tahun itu juga, Malaysia menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia pada Jun tahun lepas, setelah pelbagai usaha dilakukan beliau seperti memperkenalkan Peta Hala Tuju (F:30) dan program pemain naturalisasi.

Selepas bermula baik, kepimpinannya diuji ketika pandemik COVID-19 yang merencatkan momentum baik pasukan negara dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 2020, disusuli dengan kegagalan melepasi saingan kumpulan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020.

Tekanan dihadapi FAM di penghujung 2021 menyaksikan beliau membuat keputusan berani melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan yang pertama dari Korea Selatan, Kim Pan Gon menggantikan Tan Cheng Hoe bagi memulihkan reputasi skuad Harimau Malaya yang tercalar.

Hasilnya pasukan negara menamatkan penantian lebih empat dekad yang penuh derita untuk kembali beraksi di Piala Asia secara merit, selain kini menikmati kemajuan yang positif terutama selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut tahun ini.

Sentuhan dan komitmen Hamidin dalam menghadirkan kejayaan buat pasukan negara, selain penglibatan beliau sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2023-2027, dikagumi Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) Datuk Wilson Lau.

“Saya lihat dari dua segi, yang pertama cara beliau (Hamidin) bantu skuad Harimau Malaya sehingga berada di kedudukan ke-137, keputusan bawa masuk jurulatih dari Korea Selatan merupakan yang berani dan tepat, beliau (Hamidin) tahu standard yang diperlukan.

“Kedua dari segi FIFA, beliau merupakan wakil Malaysia dan Asia sebagai Ahli Majlis, ini cukup hebat, tidak datang sekelip mata dan bukti keupayaan pengurusan beliau. Hubungan baik beliau dengan FIFA sebab kualiti kepimpinannya, diharap ia akan beri faedah kepada negara,” katanya kepada Bernama.

Turut senada bahawa Hamidin memainkan peranannya dengan baik ialah legenda bola sepak Datuk Santokh Singh yang berkata: “Beliau (Hamidin) buat tugas yang baik, beliau cuba sedaya upaya bawa semula Malaysia ke tahap terbaik”.

Selain penglibatan dalam dunia bola sepak, kredibiliti dan kepimpinan Hamidin yang sudah menyandang jawatan presiden FAM selama dua penggal, turut diakui pihak luar apabila diumum sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, Hamidin merupakan presiden FAM ketujuh dan merupakan orang kebanyakan pertama menjawat jawatan itu.

— BERNAMA


Pengarang :