Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Selangor yang diadakan di MSekin Wonderland, Jalan Pantai Redang, Bagan Sekinchan pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hormati proses mahkamah, pendakwaan Sanusi atas aduan Dewan di-Raja

SABAK BERNAM, 18 JULAI: Semua pihak harus menghormati proses mahkamah berikutan pendakwaan terhadap Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses itu dibuat berikutan Dewan di-Raja Selangor membuat aduan polis diikuti proses siasatan sebelum prosedur mahkamah dijalankan.

“Saya tidak masuk campur, biar ikut proses. Jadi, biar kita hormat proses mahkamah,” katanya selepas merasmikan program Sentuhan Agro Madani di MSekin Wonderland di sini hari ini.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) juga menjelaskan kerajaan terpaksa menggunakan Akta Hasutan 1948 berikutan institusi diraja menjadi sasaran kempen pilihan raya.

“Soal kritik PM, saya tidak gunakan ia (Akta Hasutan) sebagai alasan tetapi martabat raja harus dipelihara. Elak menjadikannya wacana perbahasan politik tidak sihat,” katanya.

Pagi ini, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini pada 18 Julai atas dua tuduhan menghasut.

Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata itu ketika mempertikai sultan dalam isu pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor dalam ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak jam 11 malam pada 11 Julai.

Pemimpin PAS itu juga dituduh kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan di tempat dan masa sama.


Pengarang :