Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja-kerja turapan atas permukaan jalan sedia ada (overlay) di Jalan SKC Seri Keledang, Hulu Bernam Utara pada 24 Julai 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel teruskan projek turapan mega di Hulu Selangor

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerja baik pulih jalan raya secara besar-besaran bawah Projek Turapan Mega diteruskan syarikat Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) di Hulu Selangor, semalam.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu memaklumkan pembaikan meliputi turapan jalan sedia ada yang gagal berfungsi di Jalan SKC Seri Keledang, Hulu Bernam Utara.

“Hanya yang terbaik buat rakyat Selangor,” katanya ringkas di Twitter.

Tambahnya, kerja permulaan (kick-off) turut dibuat di Persiaran Puncak 6, Bandar Puncak Alam, kelmarin sebelum kerja turapan dan pembaikan jalan dimulakan.

Pada 9 Julai, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer siap 25 peratus.

Projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, jabatan kerja raya, jabatan pengairan dan saliran serta daerah dijangka siap hujung bulan ini seperti dijadualkan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berskala besar dengan dana RM50 juta bagi memastikan jalan raya negeri berada dalam keadaan baik.


Pengarang :