Calon kerusi DUN Kuang Dato’ Hasnal Rezua Merican Habib Merican beramah mesra dengan pengunjung Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Kampung Damai, Kuang pada 23 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Inisiatif jualan murah bukti Selangor prihatin kebajikan rakyat

OLEH NAJAMUDDIN MOHD NOR

GOMBAK, 23 JULAI: Tawaran barangan keperluan asas dengan harga murah pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) membuktikan Kerajaan Negeri prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Dato’ Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata program itu ternyata mengurangkan kos perbelanjaan penduduk yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

“JER merupakan inisiatif yang bermanfaat cetusan Kerajaan Negeri yang dipimpin Dato’ Seri Amirudin Shari, membuktikan keprihatian terhadap rakyat yang terkesan dengan harga barangan asas mahal ketika ini.

“Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang sentiasa membantu rakyat, kita dapat lihat Kerajaan Negeri telah berbelanja besar untuk JER bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya ketika meninjau JER di Kampung Damai di sini hari ini.

Hasnal yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada sebab penduduk khususnya di DUN itu untuk menukar tampuk pemerintahan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Saya yakin rakyat di DUN Kuang dapat menilai sekali gus memilih calon Kerajaan Perpaduan sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan konsistensi Kerajaan Negeri menjaga rakyat Selangor selama lima tahun ini,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Kampung Damai, Kuang pada 23 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, lebih 400 pengunjung berbelanja di program berkenaan dengan 500 ayam dan 300 kampit beras habis dijual dalam tempoh dua jam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

PRN ini melibatkan 56 DUN di Selangor, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).


Pengarang :