Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kiri) bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tujuh, kanan) bergambar bersama penerima lesen PSV selepas pelancaran program PSV peringkat kebangsaan 2023 di Dewan Dato’ Abdul Halim Bandar Utama, Batang Kali pada 3 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jaringan meluas pengangkutan awam manfaatkan rakyat, kukuh ekonomi negeri

HULU SELANGOR, 3 JULAI: Jaringan pengangkutan awam yang meluas terus diberi perhatian oleh pentadbiran negeri bagi manfaat penduduk selain elemen penting mengukuhkan ekonomi Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu diterjemah menerusi pelaksanaan inisiatif Smart Selangor dengan dana RM45 juta untuk memenuhi keperluan pengangkutan rakyat.

Mengambil contoh Bas Smart Selangor, beliau menjelaskan sebanyak 166 bas percuma disediakan ke lebih 50 laluan di seluruh negeri, yang mencatatkan 60 juta penumpang sejak 2015.

“Sektor pengangkutan merupakan rantaian untuk mengukuhkan ekonomi negeri dan masih diberi penekanan walaupun sebahagian besarnya bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Sektor ini juga akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri untuk penggal seterusnya agar jaringan dan kehidupan rakyat terhubung dari satu daerah ke lokaliti lain,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis pelancaran program MyPSV peringkat kebangsaan 2023 di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menerusi inisiatif MyPSV, kerajaan akan menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-panggilan serta motosikal kelas B2 bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah khasnya belia.

Sebelum ini, Amirudin berkata kebolehcapaian dan jaringan pengangkutan awam terutama di utara dan selatan negeri akan terus diberi tumpuan untuk memberi nilai tambah di daerah berkenaan.

Jelasnya, penumpuan juga meliputi sambungan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan komuter bagi mewujudkan kesimbangan pembangunan dengan kawasan bandar.


Pengarang :