Peserta menghadiri temu duga program Jelajah JobCare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah JobCare tawar 20,000 peluang kerja, mula di Hulu Selangor 22 Julai

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebanyak 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat Selangor melalui Jelajah JobCare di sembilan daerah negeri ini mulai 22 Julai hingga 16 Disember.

Ketua penyelaras Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor memaklumkan inisiatif bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal disertai 120 syarikat tempatan pelbagai sektor.

“Setiap daerah menawarkan antara 1,000 hingga 1,500 peluang kerja yang boleh dimohon meliputi bidang pembuatan, pelancongan, pengangkutan dan sebagainya.

“Kali ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut ditampilkan di setiap daerah bagi membantu orang ramai berurusan dengan pihak terbabit,” kata Vijayan Subramaniam ketika dihubungi.

Beliau berkata hebahan jelajah itu dipergiat melalui ketua kampung dan ahli majlis selain melalui sistem Skim Insurans Pekerja bawah Perkeso bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar.

“Orang ramai khususnya pencari kerja dan penganggur diseru supaya tidak melepaskan peluang ini. Mereka diingatkan membawa dokumen lengkap untuk sesi temu duga selain berpakaian sopan,” katanya.

Berikut lokasi dan tarikh penganjuran Jelajah JobCare:

  • Hulu Selangor – 22 Julai
  • Petaling Jaya – 12 Ogos
  • Klang – 26 Ogos
  • Gombak – 9 September
  • Sepang – 30 September
  • Kuala Langat – 28 Oktober
  • Hulu Langat – 4 November
  • Kuala Selangor – 2 Disember
  • Sabak Bernam – 16 Disember

Pengarang :